Portal Rasmi

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia

Malaysian Institute of Road Safety Research
 

LATAR BELAKANG PENGERUSI

   

 PROFESOR DR. WONG SHAW  VOON

PENGERUSI INSTITUT PENYELIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA MALAYSIA (MIROS)

 

YBrs. Profesor Dr. Wong Shaw Voon merupakan pakar rujuk yang berpengalaman luas dalam bidang keselamatan jalan raya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara penglibatan beliau termasuklah penggubalan dasar-dasar keselamatan jalan raya di Malaysia seperti pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang belakang, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkenaan memandu di bawah pengaruh (alkohol dan dadah), dan pelaksanaan rangka kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan dengan keselamatan kenderaan. Selain itu, beliau juga terlibat dalam penubuhan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), ASEAN Road Safety Centre, ASEAN New Car Assessment Programme (NCAP), International Road Assessment Programme (iRAP) untuk Malaysia serta pembangunan piawaian kebangsaan dan antarabangsa berkenaan dengan keselamatan jalan raya seperti Garis Panduan Audit Keselamatan Jalan Raya, Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran untuk Sektor  Pengangkutan dan Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya ISO39001.

Di samping itu, YBrs. Profesor Dr. Wong Shaw Voon juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas berhubung Keselamatan Jalan Raya kepada Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Myanmar. Beliau juga terlibat sebagai wakil Kerajaan Malaysia dalam mengusulkan Deklarasi Strategi Keselamatan Jalan Raya oleh ASEAN 2015 untuk persetujuan Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN.

YBrs. Profesor Dr. Wong Shaw Voon kini menyandang jawatan sebagai tokoh akademik bertaraf Profesor di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Mekanikal) daripada Dublin City University, Ireland turut pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah MIROS selama enam tahun yang tamat pada bulan September 2017 dan juga merupakan ahli Lembaga Pengarah MIROS sejak Ogos 2011.

YBrs. Profesor Dr. Wong Shaw Voon telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkuatkuasa pada 5 Februari 2022.