ASEAN + China Bengkel Pembinaan Kapasiti Keselamatan Jalan Raya 2024 – Kejayaan Kolaborasi antara MIROS, WHO dan CATARC
14 January 2025Kematian dan kecederaan akibat trafik jalan raya kekal menjadi cabaran kesihatan dan pembangunan global. Memandangkan berjuta-juta orang terkorban atau cedera dalam nahas jalan raya setiap tahun, keselamatan jalan raya merupakan kebimbangan utama pada skala global. Banyak negara masih menghadapi kadar kematian dan kecederaan trafik yang tinggi, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana, meskipun terdapat kemajuan ketara dalam bidang tertentu. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), selaku Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN bersama rakan kerjasamanya telah menganjurkan bengkel ASEAN+China Bengkel Pembangunan Kapasiti Keselamatan Jalan Raya (Road Safety Capacity Building Workshop) pada 10–12 Disember 2024 di Guangzhou, China. Ia telah menghimpunkan wakil-wakil daripada Negara Anggota ASEAN yang bertanggungjawab terhadap perundangan keselamatan kenderaan di negara masing-masing. Objektif utama bengkel tersebut adalah untuk menyediakan maklumat dan kemahiran praktikal kepada para peserta yang boleh diaplikasikan di negara asal mereka, seterusnya meningkatkan kapasiti negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan rangka kerja undang-undang keselamatan jalan raya PBB.
Berdasarkan Laporan Status Global Keselamatan Jalan Raya 2023, dianggarkan 1.19 juta kematian jalan raya dilaporkan pada tahun 2021 dengan 92% daripadanya adalah dari negara berpendapatan rendah dan sederhana. Susulan itu, laporan tersebut menyatakan bahawa kira-kira 79 negara anggota PBB dilaporkan tidak mempunyai perundangan mengenai keselamatan kenderaan. Dengan jumlah negara yang tinggi dikenal pasti tanpa peraturan penting tersebut, MIROS dan WHO telah mengambil inisiatif proaktif dengan mencadangkan bengkel Pembangunan kapasiti bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan pengetahuan tentang undang-undang dan peraturan di kalangan pegawai Negara Anggota ASEAN. MIROS dan WHO juga telah menganjurkan bersama bengkel tersebut dengan UN Economic Commission for Europe (UNECE), the International Motor Vehicle Inspection Committee (CITA) dan China Automotive Technology and Research Center (CATARC). Modul latihan tersebut memberi penekanan kepada individu yang memikul tanggungjawab dalam pengurusan trafik dan keselamatan, terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam pembangunan dasar dan peraturan negara. Selain itu, inisiatif ini bertujuan untuk mengumpulkan pelbagai kumpulan peserta yang memainkan peranan penting dalam membentuk dan melaksanakan dasar berkaitan trafik, keselamatan, dan tadbir urus keseluruhan. Oleh itu, kami berbesar hati kerana jemputan bengkel tersebut telah disambut baik oleh pegawai-pegawai dari Brunei, Cambodia, Indonesia, Lao PDR, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Viet Nam.
Selain menekankan kepentingan mengharmonikan pemeriksaan dan peraturan kenderaan di rantau ASEAN, bengkel tersebut turut menekankan kerjasama antara ASEAN dan China dari segi kepakaran dan sokongan melibatkan pelbagai jenis kolaborasi seperti ujian peraturan kenderaan. Perancangan sedang dijalankan bersama China untuk menjemput ASEAN bekerjasama dalam penyelidikan bersama dan perkongsian pengalaman, contohnya, mengenai ciri-ciri umum nahas trafik dan tanda-tanda tubuh manusia Asia, bagi menyumbang kepada pembangunan dan evolusi saranan antarabangsa yang berkaitan.

ASEAN participants and speakers


Panel and group discussion session