Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia yang berperanan sebagai sebuah pusat sehenti penjanaan, penghasilan dan penyebaran ilmu serta maklumat keselamatan jalan raya. Hasil kajian yang diperolehi daripada penyelidikan dan program-program intervensi berdasarkan bukti sebagai asas bagi membangunkan strategi, undang-undang, dasar dan langkah-langkah penguatkuasaan baharu terhadap keselamatan jalan raya di peringkat kebangsaan. Terlibat secara langsung di dalam penyelidikan, MIROS bekerjasama dengan agensi- agensi kerajaan dan badan-badan swasta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
Pada tahun 2014, Menteri Pengangkutan ASEAN telah melantik MIROS sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN. Pusat ini bertujuan untuk menyumbang dan mempromosikan pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan negara ASEAN, ini termasuklah undang-undang jalan raya, pengurusan data, pembangunan piawaian, pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya.
Fungsi
- untuk menjalankan penyelidikan yang menyeluruh ke atas keselamatan jalan raya, dan memberikan hala tuju umum untuk aktiviti berkenaan dengan penyelidikan keselamatan jalan raya;
- untuk membantu dalam pembangunan objektif, dasar dan keutamaan nasional bagi pembangunan dan pentadbiran keselamatan jalan raya yang teratur;
- menambah baik dan meningkatkan pengetahuan berasaskan kepada perkembangan terkini berkaitan dengan isu berhubung dengan keselamatan jalan raya;
- untuk meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap keselamatan jalan raya;
- untuk mencadangkan penyelesaian yang praktikal dengan keberkesanan optimum terhadap isu keselamatan jalan raya;
- untuk mengumpul, menganalisis dan menguruskan data berhubung dengan keselamatan jalan raya;
- untuk membangunkan, mempromosikan penggunaan, menambahkan nilai dan mengkomersialkan dapatan penyelidikan mengenai keselamatan jalan raya;
- untuk mengumpul, mengumpul semak dan menyebarkan maklumat berhubung dengan dapatan penyelidikan mengenai keselamatan jalan raya dengan cara menerbitkan atau menaja penerbitan terbitan berkala, jurnal, buku dan apa-apa cara lain yang ada, dan untuk menyediakan khidmat perundingan dan nasihat mengenai isu keselamatan jalan raya;
- untuk merancang dan menilai program keselamatan jalan raya, dan untuk menjalankan latihan berhubung dengannya;
- untuk mengkaji semula piawaian dan hasil pembelajaran kurikulum bagi kursus memandu yang disediakan oleh institusi memandu dan mengaudit tanda aras berkenaan dengan sistem penyampaian institusi memandu;
- untuk mengkaji semula kaedah ujian yang dijalankan oleh organisasi pemeriksaan kenderaan;
- untuk menjadi anggota, bergabungan dengan atau menjalin hubungan dengan mana-mana organisasi lain, kedua-dua awam dan swasta, tempatan dan asing, yang mempunyai fungsi atau aktiviti yang serupa dengan fungsi dan aktiviti Institut termasuk organisasi yang melibatkan diri dalam penyelidikan saintifik, teknikal, ekonomi dan sosiologi berkaitan keselamatan jalan raya; dan
- untuk bekerjasama dengan mana-mana orang, persatuan atau organisasi, kedua-dua tempatan dan asing, dengan matlamat untuk meningkatkan prestasi Institut secara efektif.