Portal Rasmi

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia

Malaysian Institute of Road Safety Research
 

KATA-KATA ALUAN KETUA PENGARAH

Kata Aluan Ketua Pengarah

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

 

MIROS sebagai repositori pusat maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya mempunyai visi untuk muncul sebagai peneraju diperingkat global dalam penyelidikan keselamatan jalan raya dengan memupuk sains dan kesenian dalam intervensi keselamatan jalan raya.

 

Kajian dan program keutamaan yang difokuskan oleh MIROS adalah berdasarkan lima tonggak seperti di dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 iaitu Pengurusan Keselamatan Jalan Raya, Mobiliti dan Jalan Raya yang Lebih Selamat, Kenderaan yang Lebih Selamat, Pengguna Jalan Raya yang Lebih Selamat dan Pengurusan Pasca Kemalangan.

 

Di anggarkan bahawa angka kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia akan mencapai sehingga 10,716 kematian menjelang tahun 2020 jika tiada perubahan drastik dalam intervensi atau inisiatif untuk menangani kadar kematian yang semakin meningkat. Oleh itu, Malaysia telah mensasarkan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% daripada jumlah yang dianggarkan.

 

Untuk mencapai sasaran itu, MIROS telah melaksanakan pelbagai usaha dan program untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia. Antaranya adalah Road Assessment Program (iRAP), ASEAN New Car Assessment Program (ASEAN NCAP), Commuting Safety Support Program (CSSP), Safety Star Grading (SSG), Kajian dan Pembangunan Semula Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE), Penilaian Keselamatan Jalan Raya (RSA) dan MIROS juga telah menubuhkan Pasukan Penyiasatan Kemalangan.

 

MIROS juga merupakan Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN di mana MIROS berhasrat untuk menjadi pusat rujukan bagi negara-negara ASEAN untuk mencapai tahap keselamatan jalan raya yang lebih tinggi. MIROS juga turut berperanan dalam menyokong aktiviti ASEAN NCAP bagi meningkatkan tahap keselamatan kenderaan dengan memberi penarafan bintang pada kenderaan dan MIROS turut di ikhtiraf sebagai pusat kecemerlangan iRAP yang ke-7.

 

Dalam hal ini, saya percaya bahawa MIROS bersedia untuk melalui fasa pertumbuhan baru untuk menjadi lebih cemerlang di dalam penyelidikan keselamatan jalan raya. Marilah bersama-sama menjadikan keselamatan jalan raya sebagai budaya setiap individu di Malaysia demi mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan agama, bangsa dan negara.

Keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kita selamat sampai ke pangkuan yang tersayang. 

 

#ArriveAlive

 

YBrs. Dr. Siti Zaharah binti Ishak

Ketua Pengarah

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)