Matlamat kajian ini adalah bagi merancang pelan laluan yang efisyen bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Sepanjang 20 tahun yang lalu, Mukim Kajang telah mengalami pembangunan yang pesat, yang mana menjadi hub bagi pusat pentadbiran yang penting (Putrajaya), hubungan antarabangsa (Sepang, yang mana KLIA terletak), industri berat (Bandar Baru Bangi) dan hub pengangkutan tempatan (MRT dan KTM Komuter di Kajang). Walaupun kawasan ini telah meningkat dari segi kepentingannya dan pertambahan isipadu trafik, pengangkutan awam masih lagi terhad bagi perjalanan tempatan. Umum mengetahui kepentingan pengangkutan awam dalam mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dan kemapanan bandar, namun bagi mencapai pengangkutan awam yang efektif, ianya memerlukan penilaian dari segi jaringan bersepadu dan guna tanah dikawasan tersebut. Penilaian Spatial Pelbagai Kriteria (SMCE) akan digunakan dalam kajian ini. Kaedah Penilaian Pelbagai Kriteria (MCE) telah dibangunkan bagi memilih alternatif terbaik dari set pilihan yang berkemungkinan. Kaedah penilaian ini, yang dinamakan sebagai ‘structured pair-wise comparison’, adalah variasi dari ‘Analytic Hierarchy Process’ (AHP) (Saaty, 1980).