Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) merupakan satu inisiatif keselamatan kenderaan bebas yang berdedikasi untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh Asia Tenggara. Program ini ditubuhkan pada tahun 2011 melalui kerjasama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Global NCAP. Di bawah program ini, ASEAN NCAP menilai prestasi keselamatan kenderaan yang terdapat di pasaran ASEAN menerusi ujian perlanggaran yang rapi serta penilaian terhadap teknologi bantuan keselamatan canggih yang dilengkapi pada kenderaan tersebut.
Sejak penubuhannya, ASEAN NCAP telah menyediakan penilaian keselamatan bebas untuk pelbagai jenis jenama dan model kenderaan. Penarafan ini berfungsi sebagai tanda aras penting untuk membandingkan tahap keselamatan bagi kelas kenderaan yang serupa, sekali gus memperkasakan setiap pengguna dan pengendali flit untuk membuat keputusan termaklum semasa membeli kenderaan. Berdasarkan penilaiannya, ASEAN NCAP menghasilkan penarafan keselamatan daripada Sifar hingga 5-Bintang, di mana 5-Bintang adalah yang tertinggi.
Selain menjalankan penilaian prestasi keselamatan bagi kenderaan baharu yang memasuki pasaran Asia Tenggara, peranan ASEAN NCAP melangkaui ujian semata-mata di mana kami secara aktif menyokong reka bentuk keselamatan kenderaan yang dipertingkatkan dan penyertaan teknologi yang menyelamatkan nyawa. Protokol penilaian ASEAN NCAP pada masa kini merangkumi empat domain penilaian yang terdiri daripada kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), kategori Bantuan Keselamatan (SA) dan kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).
Bagi memastikan penilaian yang dijalankan mencerminkan senario perlanggaran lazim dan tingkah laku pengguna jalan raya di seluruh negara ASEAN, ASEAN NCAP telah membangunkan siri projek yang bertujuan untuk mewujudkan bukti saintifik mengenai ciri-ciri keselamatan jalan raya serantau di ASEAN.
Projek-projek ini memainkan peranan penting dalam membimbing penyelesaian berkesan terhadap cabaran keselamatan tempatan. Berdasarkan pandangan dan data yang dikumpul daripada projek penyelidikan tersebut, ASEAN NCAP telah membangunkan protokol penilaian yang disesuaikan dengan keperluan dan kerumitan situasi jalan raya di negara-negara ASEAN.
Sama seperti NCAP lain di seluruh dunia, ASEAN NCAP merupakan program pengguna yang mempromosikan pilihan kenderaan yang lebih selamat kepada pengguna dengan MIROS bertindak sebagai sekretariat program. Program NCAP lain mempunyai penarafan keselamatan mereka sendiri yang dikhaskan untuk negara atau wilayah masing-masing. Penilaian dan pengiraan ujian yang dilakukan oleh ASEAN NCAP adalah khusus untuk spesifikasi kenderaan yang tersedia bagi pasaran Asia Tenggara.
Memandangkan jumlah kenderaan yang dihasilkan dengan nama jenama dan model yang sama adalah tinggi di seluruh dunia, pengguna kenderaan digalakkan untuk meneliti spesifikasi bagi membandingkan perbezaan antara kenderaan yang dijual di negara lain dengan yang dijual di pasaran ASEAN.
Bagi memastikan pengguna menerima maklumat keselamatan yang tepat dan relevan, Protokol Penggunaan Jenama telah diwujudkan dalam kalangan program-program NCAP. Di bawah perjanjian ini, hanya logo NCAP tempatan yang berkaitan sahaja boleh digunakan semasa mempromosikan keputusan NCAP. Sehubungan itu, penarafan keselamatan yang dikeluarkan oleh program ujian lain tidak boleh diguna pakai untuk model kenderaan yang dipasarkan atau dijual di negara-negara Asia Tenggara